Falsafah Al-Ghazzali dalam bidang logik
Menurut Al-Ghazzali falsafah
secara ringkasnya dikatogerikan kepada enam aspek penting iaitu matematik,
fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan etika (akhlak). Logik merupakan
suatu ilmu hujah, pendalilan serta pembuktian. Sumbangan Al-Ghazzali dalam
bidang ini dapat dilihat dalam 2 bentuk iaitu dari aspek pengajaran dan
penulisan. Kedua – dua bentuk sumbangannya menerusi dua kegiatan ini telah
memainkan peranan penting dalam usahanya untuk memantapkan Logik sebagai
displin ilmu yang boleh digunakan sebagai alat untuk membahaskan ilmu – ilmu
Islam.
Beliau mampu menguasai bidang ini walaupun tidak dibimbing secara khusus
oleh mana-mana guru yang berketokohan dalam bidang ini. Namun, al-Juwaynilah
satu-satunya guru yang memberikan pendedahan awal kepadanya tentang asas
pemikiran Logik. Al–Ghazzali mengambil inisiatif sendiri mengkaji displin ini
menerusi pembacaannya terhadap karya-karya falsafah.
Peranan Logik dapat dijelaskan
lagi melalui 3 hasil karya ilmiahnya iaitu Mi’yar
al-‘Ilm fi al-Mantiq, Mihak al-Nazar dan
Al-Qistas al-Mustaqim. Kitab Mi’yar adalah karya terunggul al-Ghazzali.
Penghasilan karyanya ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri, khususnya
bagi menjelaskan komitmen beliau terhadap Logik sebagai suatu neraca ukuran
atau piawai bagi ilmu pengetahuan. Al–Ghazzali telah menilai Logik sebagai
neraca ukuran bagi kegiatan berfikir yang dilakukan oleh manusia, khususnya
bagi membezakan pemikiran yang betul dengan yang terpesong dari asas kebenaran.
Neraca ukuran inilah yang digunakan oleh
Al-Ghazzali untuk menilai pemikiran manusia, misalnya beberapa pandangan ahli
falsafah yang tidak dipersetujuinya. Walaubagaimanapun, kebahagiaan bukan hanya
dapat dicapai menerusi penghasilan atau pencapaian ilmu berguna hasil
penggunaan neraca ukurannya yang tepat, tetapi juga terletak pada sejauh mana
manusia mampu mengamalkan amalan dengan baik. Maka, beliau berusaha pula
menghasilkan karya lain bertujuan untuk menilai amalan yang dilakukan oleh
manusia. Karya tersebut dinamakan sebagai Mizan
Al – Amal yang bermaksud neraca ukuran bagi sesuatu amalan.
Karya seterusnya ialah kitab Mihak Al- Nazar. Kedudukan karya ini
hampir sama dengan kitab Miyar, sama ada dari segi isi kandungan atau fungsinya
di mana beliau cuba
mengetengahkan logik ini sebagai piawai penilai akan kesahihan sesuatu ilmu
pengetahuan. Mihak al-Nazar boleh
didefinisikan sebagai ukuran penentu kesahihan sesuatu penelitian. Al-Ghazzali
menerangkan kepentingan kaedah Logik sebagai Mihak al-nazar dalam mengawasi pemikiran manusia daripada melakukan
kesilapan dalam berfikir. Seterusnya
kitab Al-Qistas al- Mustaqim yang
bermaksud “neraca timbangan yang lurus” adalah sebuah karya terpenting
al-Ghazzali dalam bidang logik. Penggunaan istilah Al-Qistas
al- Mustaqim adalah sebahagian daripada percubaan al-Ghazzali bagi
menonjolkan displin Logik yang berperanan sebagai pengawas kegiatan berfikir
manusia. Kitab ini adalah karya al-Ghazzali terakhir yang menggunakan Logik untuk
mempertahankan prinsip – prinsip ajaran islam. Al-Ghazzali mengeluarkan neraca
timbangan ini terus daripada Al-Quran kerana apa yang dianggapnya sebagai Al-Qistas
al – Mustaqim itu adalah rakan akrab kepada Al-Quran, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah s.w.t. menerusi firman-Nya dalam surah al-Haddid : 25
yang bermaksud :
Demi sesungguhnya!Kami telah mengutus Rasul-rasul kami dengan membawa
bukti – bukti dan mu’jizat yang jelas nyata,
dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang
menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.
Daripada firman di atas dapat
diperjelaskan bahawa Al-Ghazzali mengutarakan unsur – unsur agama dalam
karyanya. Daripada ketiga – tiga karya di atas, dapat dipersetujui bahawa Al-Ghazali
mengajak manusia untuk mengkaji atau
menilai sesuatu perkara melalui akal fikiran yang dianugerahkan dengan tepat
sebelum membuat kesimpulan terhadap sesuatu fakta. Al-Ghazali mendapat
tentangan yang hebat oleh tokoh pemikir islam terutamanya di kalangan
ulama. Hakikat yang harus di akui ilmu
Logik ini tidak begitu mudah untuk difahami malahan tidak begitu digemari oleh
kebanyakan umat islam pada zamannya. Ianya mendapat tentangan yang hebat
disebabkan pengasas ilmu Logik ini tidak beragama islam iaitu Aristotle, maka
ada diantara sebilangan masyarakat mengganggap karya logik ini adalah karut –
marut dan akan membawa kepada kesesatan serta kekufuran. Walaubagaimanapun,
Al-Ghazzali tetap berusaha untuk mempertahankan ilmu Logik ini di mana beliau
mengatakan bahawa mengenali kebenaran melalui seseorang yang menyuarakan, bukan
melalui kebenaran itu sendiri yang disuarakannya merupakan kesilapan yang
paling nyata.
Ilmu logik ini juga adalah
bersumberkan akal semata – mata dan tidak bersumberkan wahyu. Walaupun pada
zahirnya tidak terdapat hubungan yang boleh dilihat antara ajaran wahyu dengan
falsafah yang terkandung di dalam displin Logik, namun kemungkinan wujud
hubungan antara kedua – duanya tidak boleh ditolak secara mutlak. Hal ini
kerana berdasarkan catatan sejarawan islam, misalnya al-Syahrzuri, Tasy Kubra
Zadah yang mendakwa displin ilmu Logik adalah warisan ilmu peninggalan para anbia yang diturunkan oleh manusia daripada suatu
generasi kepada generasi yang lain. Ini bermakna tamadun Greek pada logiknya
juga telah turut sama terpengaruh dengan beberapa peradaban islam
sebelumnya.
0 comments:
Poskan Komentar